Salam Perkenalan

Salam sejahtera diucapkan, saya dilahirkan berlatarbelakang dalam keluarga yang agak susah tetapi amat bersyukur kepada Allah s.w.t yang telah melanjutkan usia saya sehingga ke hari ini. Sepanjang perjalanan hidup ini, Allah s.w.t telah mengurniakan pelbagai ujian berupa nikmat, suka duka, ilmu kesedaran & keinsafan, lalai dan alpa pun ada.

Inilah yang dikatakan manusia yang serba kekurangan.

Kehidupan semasa hendak membesar, makan minum apa yang ada dan bercatu. Maklumlah ayah yang berpendapatan sebagai seorang guru dan bertanggungjawab menyara hidup seramai 20 orang semuanya (atuk, nenek, sepupu 2 mak ayah dan 13 adik beradik), ayah yang pada ketika itu mula mencetuskan idea untuk mengumpulkan orang-orang melayu untuk bersatu. Setahu saya bermulanya politik melayu ini pengasasnya dari guru di Batu Pahat dan menapak secara berperingkat sehingga mendapat pengaruh yang lebih besar iaitu dibawa ke pengetahuan dan keperlantikan ketua yang lebih berpengaruh ketika itu ialah Dato' Onn Jaafar yang pada ketika itu beliau menjawat jawatan sebagai Pegawai Daerah Batu Pahat. Kesibukan ayah untuk memberi fahaman kepada orang-orang melayu untuk bersatu padu dan berpersatuan, sedikit sebanyak memberi kesan kepada kehidupan kita sekeluarga. Pendapatan ayah yang tak seberapa tambahan pula hendak dibelanjakan sebahagian untuk persatuan. Hanya makanan asas disediakan seperi beras, gula, garam, asam dan jagung kering (untuk dicampur dengan beras semasa memasak nasi). Itulah erti permulaan untuk hidup. Bersyukurnya kami tak merungut atau mengeluh. Tambahan pula ayah sungguh tegas dan berdisiplin orangnya.

Oleh itu, saya menulis blog ini untuk berkongsi pendapat dan pengalaman untuk kebaikan kita bersama. Insyallah...

Wednesday, May 28, 2008

Serba Sedikit Mengenai...

Saya dibesarkan dalam suasana kampung, bersekolah rendah di Senggarang, Batu Pahat hingga darjah 3 dan melanjutkan selolah di Pekan Batu Pahat hingga tamat sekolah menengah. Pernah bertugas di Jabatan Telekom di Kuala Lumpur, Seremban, Kuala Terengganu, Kluang dan tamat perkhidmatan dari Syarikat Telekom pada 30 Julai 1999. Tamat perkidmatan awal kerana kesihatan tidak mengizinkan. Selamat menjalani pembedahan kanser Thyroid dan alhamdulillah selamat dan sihat dengan izin Allah dan bantuan ubat-ubatan sehingga kini.

Kenangan manis dalam Telekom sepanjang perkhidmatan ialah di anugerahkan pekerja cemerlang seluruh Malaysia pada tahun 1997 dimana ganjaranya melancung ke negara China, wang tunai dan 2 telefon bimbit. Ketika itu ialah 011... alatnya masih tersimpan. Kenangan selalu rasa cemas dan buntu dalam perkhidmatan ialah semasa menjadi Ketua Hasil yang mana jika kutipan harian tidak seimbang yang mana saya tinggallah seorang sehingga dapat dikemaskini. Hati berdebar ingatkan anak-anak dan suami untuk menyediakan makan malam. Memanglah bercelaru dibuatnya.

Cerita sedikit hal diri saya. Dari kecil sememangnya hidup dalam keadaan paling sederhana dengan mendapat didikan awal dikampung dari segi agama dan tatasusila hidup. Sangat berterima kasih pada arwah ayah yang sungguh berdisipin dan tegas orangnya. Sungguhpun ramai adik beradik dan sepupu dalam satu rumah kami tidak cerewet. Makan apa yang ada dan makan diatas dulang beralaskan daun pisang. Ketika itu apa saja yang disajikan mak memanglah sedap belaka.

Tamat sekolah menengah saya menjawat jawatan guru sementara di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Sungai Nibung, Semerah, Batu Pahat. Selepas itu bertugas di Jabatan Telekom. Saya mendirikan rumah tangga pada usia 22 tahun dan di kurniakan 6 orang anak iaitu empat lelaki dan dua perempuan. Alhamdullillah, kesemuanya dapat didikan tinggi 4 orang yang berijazah dan 2 orang diploma. Semuanya sudah ada jawatan masing masing untuk meneruskan hidup.

Dalam membesarkan anak-anak macam-macam kami suami isteri usahakan untuk menambah pendapatan supaya anak-anak dapat didikan secukupnya untuk kebaikan dunia dan akhirat. Kami buat "catering, membuka gerai makan, buka restoran, suami buat kerja-kerja baiki rumah dan lain-lain upah secara kecil-kecilan." Suami dahulunya seorang Pegawai Tentera, berhenti kerana tidak mahu berpidah randah yang mana saya dan anak-anak tidak dapat ikut sama. Sungguh pun begitu kami telah umrahkan kesemua anak-anak kami bersama pada tahun 1997.

Sekarang ini, segalanya tinggal kenangan bersama suami. Kami semua merinduinya...........beliau meninggalkan kami pada 12hb Ogos 2007. Menitis airmata saya semasa menaip coretan ini. Banyak teguran-tegurannya yang masih terdengar-dengar ditelinga. Ilmu agamanya yang masih tersusun (buku pelajaran agama dari arwah gurunya). Ada ringkasan-ringkasan catitan yang ditinggalkan untuk kami di komputer yang dirakamkan 3 bulan sebelum beliau meninggalkan kami semua. Kini tinggallah saya dengan anak-anak yang belum berumahtangga. Hari minggu anak-anak yang berdekatan datang berkunjung dengan cucu-cucu. Sekarang saya sudah ada 4 orang cucu. Seorang berada di Kuantan yang lainya berada di Johor Bahru.

Saya baru pulang dari mengerjakan Umrah pada 24.5.08. Alhamdulillah semoga Allah terima ibadah saya. Berkesempatan saya dapat mengerjakan Badal Umrah untuk arwah suami dan adik lelaki saya yang meninggal mengejut di Masjid Taman Kobena, Johor Bahru. Beliau ketika itu masih bujang dan baru lepas menamatkan pelajaran dari USM.

Saya akan ke Pulau Pinang menghadiri undangan perkahwinan anak saudara saya mulai 29.05.08. Pulang nanti singgah ke Kajang rumah adik kerana emak ada disana. Emak saya memang sudah uzur maklumlah usia sudah lanjut. Bersyukurlah saya masih ada seorang ibu.

Saya akan kembali berkongsi pengalaman saya setelah saya pulang dari Kajang. Sehingga itu, selamat bercuti...

No comments: