Salam Perkenalan

Salam sejahtera diucapkan, saya dilahirkan berlatarbelakang dalam keluarga yang agak susah tetapi amat bersyukur kepada Allah s.w.t yang telah melanjutkan usia saya sehingga ke hari ini. Sepanjang perjalanan hidup ini, Allah s.w.t telah mengurniakan pelbagai ujian berupa nikmat, suka duka, ilmu kesedaran & keinsafan, lalai dan alpa pun ada.

Inilah yang dikatakan manusia yang serba kekurangan.

Kehidupan semasa hendak membesar, makan minum apa yang ada dan bercatu. Maklumlah ayah yang berpendapatan sebagai seorang guru dan bertanggungjawab menyara hidup seramai 20 orang semuanya (atuk, nenek, sepupu 2 mak ayah dan 13 adik beradik), ayah yang pada ketika itu mula mencetuskan idea untuk mengumpulkan orang-orang melayu untuk bersatu. Setahu saya bermulanya politik melayu ini pengasasnya dari guru di Batu Pahat dan menapak secara berperingkat sehingga mendapat pengaruh yang lebih besar iaitu dibawa ke pengetahuan dan keperlantikan ketua yang lebih berpengaruh ketika itu ialah Dato' Onn Jaafar yang pada ketika itu beliau menjawat jawatan sebagai Pegawai Daerah Batu Pahat. Kesibukan ayah untuk memberi fahaman kepada orang-orang melayu untuk bersatu padu dan berpersatuan, sedikit sebanyak memberi kesan kepada kehidupan kita sekeluarga. Pendapatan ayah yang tak seberapa tambahan pula hendak dibelanjakan sebahagian untuk persatuan. Hanya makanan asas disediakan seperi beras, gula, garam, asam dan jagung kering (untuk dicampur dengan beras semasa memasak nasi). Itulah erti permulaan untuk hidup. Bersyukurnya kami tak merungut atau mengeluh. Tambahan pula ayah sungguh tegas dan berdisiplin orangnya.

Oleh itu, saya menulis blog ini untuk berkongsi pendapat dan pengalaman untuk kebaikan kita bersama. Insyallah...

Wednesday, June 11, 2008

Aktiviti-aktiviti semasa di Semenyih

Saya berada di Semenyih selama 8 hari bermula dari 1hb Jun hingga 9hb Jun. Saya tinggal dirumah adik saya bernama Rosnah dan suaminya Dr Isa yang bertugas di Universiti Putra Malaysia. Tujuan saya berada disana ialah untuk menjaga emak. Kali terakhir saya menjaga emak saya ialah pada bulan Febuary dan pulang ke Johor Bahru pada 6hb Mac sebelum tarikh Hari Pilihan Raya Umum yang ke 12. Sepanjang saya menjaga emak di Semenyih dapatlah saya masakkan yang dia boleh makan, minum dan memicit-micit badan serta kakinya. Walaubagaimana pun saya tidaklah dapat menjaga dan merawat sepenuhnya kerana ada pembantu. Akan tetapi pada malam hari saya tidur di sisinya. Emak saya hanya baring telentang dan kalau hendak bergerak mestilah di bantu oleh pembantu, saya atau adik saya. Masalah yang timbul apabila waktu malam hari emak saya tidak boleh tidur hingga ke pagi, sedangkan saya pula rasa mengantuk kerana saya waktu siang tidak tidur. Macam-macamlah yang dia mahukan, menggaru badan, hendak minum, makan (makanan yang beliau tidak boleh makan) selagi tidak dapat apa yang dia kehendaki dia merenget-renget dan menangis. Biasanya dia berasa lapar pada jam 1.00 hingga 6.00 pagi. Saya rasa tidak tahan tetapi mengenangkan emak dan rasa sedih juga saya kuatkan hati bangun dan masak lemping ikan bilis dan bawang makan bersama sedikit kicap. Adakalanya dia hendak hirup kuah masak singgaang, ke dapurlah saya pada jam 4.00 pagi. Selepas dia dapat merasa dia rasa puas. Ada satu ketika dia hendak makan sate. Selagi dia tidak dapat selagi itulah dia merenget-renget sampai ke pagi. Selepas solat Subuh buatlah saya sate ayam segera. Makannya bukanlah banyak adalah dalam 4 cucuk tanpa sambal kacang (tidak boleh makan). Pendek kata memanglah hendak sabar menjaga dan melayan orang tua. Ada hikmahnya juga menjaga emak di malam hari, kerana saya dapatlah tunaikan solat Tahjud dan mengaji serta mengajak emak membaca Al-Quran dan ingatkan dia berzikir mengingati Allah s.w.t.

Pada siang hari adik ipar saya Dr Isa dan isteri tidak jemu-jemu mengajak saya berjalan-jalan. Dalam keretanya saya sering terlelap. Tempat-tempat yang dibawanya ialah ke Gedong Nilai, iaitu tempat orang membeli-belah dan memborong pakaian dan macam-macam barangan. Ramai penggunjung dari seluruh Malaysia yang datang. Ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke sana. Sebagai kenangan adik saya belikan saya crystal rantai leher dan rantai tangan.

Selain dari jalan-jalan dan mencuci mata, saya berkesempatan melawat Putrajaya. Di Putrajaya saya melawat masjid dan berpeluang solat Asar di sana. Selepas solat kami makan rojak dan air tahu serta kuih-muih. Masa itu kami bersama-sama dua lagi adik perempuan dan pasangan pengantin baru. Dr Isa tidak lepas peluang untuk mengambil gambar kenangan. Selain dari ke Putrajaya saya dibawa ke KLIA pula. Ini adalah kali kedua saya sampai di sana. Kali pertama semasa saya hendak menunaikan Haji pada December 2003, tetapi ketika itu waktu malam tidaklah puas mata memandang. Kali ini dapatlah saya melihat bangunan yang sergam indah dan dihiasi dengan landscape yang menghijau dan unik bentuknya. Tidak ketinggalan pula adik saya bawa makan-makan sate Kajang dan ke Pasar Lambak Semenyih. Saya juga berpeluang menziarah rumah anaknya yang berdekatan. Pada keseluruhannya saya sangat gembira dan bersyukur serta berterima kasih dengan kelurga adik saya. Apabila saya hendak pulang betapa hibanya hendak meninggalkan emak yang tidak bermaya itu. Kami dua beranak menangis hiba kerana tidak sampai hati hendak meninggalkannya dan dia tidak rela melepaskan saya pergi tetapi apakan daya saya terpaksa menyambung urusan saya bersama anak-anak di Johor Bahru.

No comments: