Salam Perkenalan

Salam sejahtera diucapkan, saya dilahirkan berlatarbelakang dalam keluarga yang agak susah tetapi amat bersyukur kepada Allah s.w.t yang telah melanjutkan usia saya sehingga ke hari ini. Sepanjang perjalanan hidup ini, Allah s.w.t telah mengurniakan pelbagai ujian berupa nikmat, suka duka, ilmu kesedaran & keinsafan, lalai dan alpa pun ada.

Inilah yang dikatakan manusia yang serba kekurangan.

Kehidupan semasa hendak membesar, makan minum apa yang ada dan bercatu. Maklumlah ayah yang berpendapatan sebagai seorang guru dan bertanggungjawab menyara hidup seramai 20 orang semuanya (atuk, nenek, sepupu 2 mak ayah dan 13 adik beradik), ayah yang pada ketika itu mula mencetuskan idea untuk mengumpulkan orang-orang melayu untuk bersatu. Setahu saya bermulanya politik melayu ini pengasasnya dari guru di Batu Pahat dan menapak secara berperingkat sehingga mendapat pengaruh yang lebih besar iaitu dibawa ke pengetahuan dan keperlantikan ketua yang lebih berpengaruh ketika itu ialah Dato' Onn Jaafar yang pada ketika itu beliau menjawat jawatan sebagai Pegawai Daerah Batu Pahat. Kesibukan ayah untuk memberi fahaman kepada orang-orang melayu untuk bersatu padu dan berpersatuan, sedikit sebanyak memberi kesan kepada kehidupan kita sekeluarga. Pendapatan ayah yang tak seberapa tambahan pula hendak dibelanjakan sebahagian untuk persatuan. Hanya makanan asas disediakan seperi beras, gula, garam, asam dan jagung kering (untuk dicampur dengan beras semasa memasak nasi). Itulah erti permulaan untuk hidup. Bersyukurnya kami tak merungut atau mengeluh. Tambahan pula ayah sungguh tegas dan berdisiplin orangnya.

Oleh itu, saya menulis blog ini untuk berkongsi pendapat dan pengalaman untuk kebaikan kita bersama. Insyallah...

Wednesday, September 3, 2008

resepi kerabu kerang malinja

2 kg kerang- direbus ambil isinya
5 biji lada merah
10 biji cili padi
2batang serai dimayang halus
5ulas bawang putih
2 biji bawabg besar dimayang halis
3 biji limau kasturi
2 sudu gula pasir
3sudu kerisik kelaqpa
1 cawan kacang tanah yang telah di tumbuk
2 sudu makan sos tiram
5 batang kacang botol dimayang halus
200 gram tauge
200 gram kelapa parut yang telah disangan(digoreng garing tanpa minyak)
daun selasih
garam secukup rasa

cara membuatnya
-------------------
1. lada merah, cili padi, bawang putih dan serai di tumbuk halus
2. gaulkan bahan no 1 tadi dengan kerisik,sos tiram gula,garam dan air perahan limau kasturi
3.masukkan kerang, gaul rata kemudian masukkan kacang botol yang telah dimayang ,tauge dan daun selasih
4.masukkan kacang tanah dan kelapa goreng , gaul rata dan sedia
dihidangkan.

Wednesday, June 11, 2008

Aktiviti-aktiviti semasa di Semenyih

Saya berada di Semenyih selama 8 hari bermula dari 1hb Jun hingga 9hb Jun. Saya tinggal dirumah adik saya bernama Rosnah dan suaminya Dr Isa yang bertugas di Universiti Putra Malaysia. Tujuan saya berada disana ialah untuk menjaga emak. Kali terakhir saya menjaga emak saya ialah pada bulan Febuary dan pulang ke Johor Bahru pada 6hb Mac sebelum tarikh Hari Pilihan Raya Umum yang ke 12. Sepanjang saya menjaga emak di Semenyih dapatlah saya masakkan yang dia boleh makan, minum dan memicit-micit badan serta kakinya. Walaubagaimana pun saya tidaklah dapat menjaga dan merawat sepenuhnya kerana ada pembantu. Akan tetapi pada malam hari saya tidur di sisinya. Emak saya hanya baring telentang dan kalau hendak bergerak mestilah di bantu oleh pembantu, saya atau adik saya. Masalah yang timbul apabila waktu malam hari emak saya tidak boleh tidur hingga ke pagi, sedangkan saya pula rasa mengantuk kerana saya waktu siang tidak tidur. Macam-macamlah yang dia mahukan, menggaru badan, hendak minum, makan (makanan yang beliau tidak boleh makan) selagi tidak dapat apa yang dia kehendaki dia merenget-renget dan menangis. Biasanya dia berasa lapar pada jam 1.00 hingga 6.00 pagi. Saya rasa tidak tahan tetapi mengenangkan emak dan rasa sedih juga saya kuatkan hati bangun dan masak lemping ikan bilis dan bawang makan bersama sedikit kicap. Adakalanya dia hendak hirup kuah masak singgaang, ke dapurlah saya pada jam 4.00 pagi. Selepas dia dapat merasa dia rasa puas. Ada satu ketika dia hendak makan sate. Selagi dia tidak dapat selagi itulah dia merenget-renget sampai ke pagi. Selepas solat Subuh buatlah saya sate ayam segera. Makannya bukanlah banyak adalah dalam 4 cucuk tanpa sambal kacang (tidak boleh makan). Pendek kata memanglah hendak sabar menjaga dan melayan orang tua. Ada hikmahnya juga menjaga emak di malam hari, kerana saya dapatlah tunaikan solat Tahjud dan mengaji serta mengajak emak membaca Al-Quran dan ingatkan dia berzikir mengingati Allah s.w.t.

Pada siang hari adik ipar saya Dr Isa dan isteri tidak jemu-jemu mengajak saya berjalan-jalan. Dalam keretanya saya sering terlelap. Tempat-tempat yang dibawanya ialah ke Gedong Nilai, iaitu tempat orang membeli-belah dan memborong pakaian dan macam-macam barangan. Ramai penggunjung dari seluruh Malaysia yang datang. Ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke sana. Sebagai kenangan adik saya belikan saya crystal rantai leher dan rantai tangan.

Selain dari jalan-jalan dan mencuci mata, saya berkesempatan melawat Putrajaya. Di Putrajaya saya melawat masjid dan berpeluang solat Asar di sana. Selepas solat kami makan rojak dan air tahu serta kuih-muih. Masa itu kami bersama-sama dua lagi adik perempuan dan pasangan pengantin baru. Dr Isa tidak lepas peluang untuk mengambil gambar kenangan. Selain dari ke Putrajaya saya dibawa ke KLIA pula. Ini adalah kali kedua saya sampai di sana. Kali pertama semasa saya hendak menunaikan Haji pada December 2003, tetapi ketika itu waktu malam tidaklah puas mata memandang. Kali ini dapatlah saya melihat bangunan yang sergam indah dan dihiasi dengan landscape yang menghijau dan unik bentuknya. Tidak ketinggalan pula adik saya bawa makan-makan sate Kajang dan ke Pasar Lambak Semenyih. Saya juga berpeluang menziarah rumah anaknya yang berdekatan. Pada keseluruhannya saya sangat gembira dan bersyukur serta berterima kasih dengan kelurga adik saya. Apabila saya hendak pulang betapa hibanya hendak meninggalkan emak yang tidak bermaya itu. Kami dua beranak menangis hiba kerana tidak sampai hati hendak meninggalkannya dan dia tidak rela melepaskan saya pergi tetapi apakan daya saya terpaksa menyambung urusan saya bersama anak-anak di Johor Bahru.

Tuesday, June 10, 2008

Menghadiri majlis kenduri kahwin anak saudara


Pada 29hb mei saya dan anak perempuan saya bertolak dengan bas dari Johor Bahru ke Parit Buntar. Bertolak pada jam 11.30 malam. Dalam perjalanan masa banyak dihabiskan dengan berehat fikiran sambil berzikir dan kadang kala mata lelap dan tidur. Sampai di stesen bas di Parit Buntar jam 7.45 pagi. Tunggu adik dan suaminya jemput agak lama juga kerana beliau ada banyak urusan. Apabila mereka sampai kami di ajak ke pekan dan pasar untuk berbelanja persediaan untuk makan malam dan untuk keesokan harinya. Ramai sanak saudara berkumpul yang lama tidak bersua. Apalagi macam-macamlah ceritanya. Majlis di rumah perempuan pada 31hb Mei. Majlisnya ringkas tiada bersanding tapi hanya majlis makan beradat sahaja. Meriah juga kerana ramai hadirin. Pengantin perempuan adalah anak bungsu. Majlis di adakan di rumah abangnya. Sebab kedua ibubapanya telah meninggal dunia. Majis di rumah adik perempuan saya pada 1hb Jun di adakan di Dewan Merdeka Parit Buntar. Kami adik beradik berkumpul menghadirkan diri kerana pengantin lelaki ialah anak tunggal. Sedikit kekecohan berlaku kerana jemputan hadir di luar jangkaan. Maklumlah rupa-rupanya jemputan kebanyakan hadir bersama keluarga. Nasib baik makanan cukup. Yang tidak cukupnya buah tangan untuk di bawa pulang. Sebab pada awalnya menyangkakan ramai tidak hadir kerana ramai di daerah itu yang buat kenduri kahwin. Yang datang lambat dapatlah gula-gula dan salam pelokan saja.

Majils belum tamat kira kira jam 4.30 petang saya bertolak ke Semenyih tumpang naik kereta adik ipar saya. Keretanya kosong sebab adik saya tidak ikut sama sebab dia ada catering dua majlis perkahwinan. Sebelum itu dia telah masakkan lauk rendang tok dan acar buah untuk majlis perkahwinan adik saya di Pulau Pinang yang mana lauk-lauk tersebut di bawa oleh suaminya. Dalam perjalanan pulang kami terperangkap dalam kesesakan lalulintas. Kami sampai di rumah adik saya di Semenyih jam 12.40 malam. Sampai-sampai di rumahnya pertama sekali saya menjenguk ibu saya yang uzur dan terlantar itu. Alangkah terkejutnya saya dan sangat terharu ibu saya semangkin kurus dan agak pucat. Dia sedang tidur, saya tak sampai hati untuk mengejutnya. Keesokan harinya barulah saya bertemunya. Alhamdulillah ia dapat mengecam saya. Sungguh sayu dan hiba hati saya melihat keadaanya. Timbul rasa insaf di hati ini memikirkan bagaimana nasib saya kelak keadaanya andaikata usia saya menjangkau ke usia macam dia. Timbul persoalan siapa yang akan sanggup menjaga dan merawat saya kelak. Walau pun ibu saya sedemikian , kami adik-beradik berpakat membiayainya dan bergilir-gilir menjaga ibu. Semasa mudanya beliau seorang yang gigih bekerja untuk menambah pendapatan. Kerja-kerja yang pernah beliau lakukan ialah ambil upah buat atap nipah, jual rokok nipah, mencongkil kelapa, menyalai kelapa, tanam padi, bersih kebun untuk tanam kelapa dan pernah menggali parit. Pendek kata banyak kerja-kerja berat telah dilakukan.

Wednesday, May 28, 2008

Serba Sedikit Mengenai...

Saya dibesarkan dalam suasana kampung, bersekolah rendah di Senggarang, Batu Pahat hingga darjah 3 dan melanjutkan selolah di Pekan Batu Pahat hingga tamat sekolah menengah. Pernah bertugas di Jabatan Telekom di Kuala Lumpur, Seremban, Kuala Terengganu, Kluang dan tamat perkhidmatan dari Syarikat Telekom pada 30 Julai 1999. Tamat perkidmatan awal kerana kesihatan tidak mengizinkan. Selamat menjalani pembedahan kanser Thyroid dan alhamdulillah selamat dan sihat dengan izin Allah dan bantuan ubat-ubatan sehingga kini.

Kenangan manis dalam Telekom sepanjang perkhidmatan ialah di anugerahkan pekerja cemerlang seluruh Malaysia pada tahun 1997 dimana ganjaranya melancung ke negara China, wang tunai dan 2 telefon bimbit. Ketika itu ialah 011... alatnya masih tersimpan. Kenangan selalu rasa cemas dan buntu dalam perkhidmatan ialah semasa menjadi Ketua Hasil yang mana jika kutipan harian tidak seimbang yang mana saya tinggallah seorang sehingga dapat dikemaskini. Hati berdebar ingatkan anak-anak dan suami untuk menyediakan makan malam. Memanglah bercelaru dibuatnya.

Cerita sedikit hal diri saya. Dari kecil sememangnya hidup dalam keadaan paling sederhana dengan mendapat didikan awal dikampung dari segi agama dan tatasusila hidup. Sangat berterima kasih pada arwah ayah yang sungguh berdisipin dan tegas orangnya. Sungguhpun ramai adik beradik dan sepupu dalam satu rumah kami tidak cerewet. Makan apa yang ada dan makan diatas dulang beralaskan daun pisang. Ketika itu apa saja yang disajikan mak memanglah sedap belaka.

Tamat sekolah menengah saya menjawat jawatan guru sementara di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Sungai Nibung, Semerah, Batu Pahat. Selepas itu bertugas di Jabatan Telekom. Saya mendirikan rumah tangga pada usia 22 tahun dan di kurniakan 6 orang anak iaitu empat lelaki dan dua perempuan. Alhamdullillah, kesemuanya dapat didikan tinggi 4 orang yang berijazah dan 2 orang diploma. Semuanya sudah ada jawatan masing masing untuk meneruskan hidup.

Dalam membesarkan anak-anak macam-macam kami suami isteri usahakan untuk menambah pendapatan supaya anak-anak dapat didikan secukupnya untuk kebaikan dunia dan akhirat. Kami buat "catering, membuka gerai makan, buka restoran, suami buat kerja-kerja baiki rumah dan lain-lain upah secara kecil-kecilan." Suami dahulunya seorang Pegawai Tentera, berhenti kerana tidak mahu berpidah randah yang mana saya dan anak-anak tidak dapat ikut sama. Sungguh pun begitu kami telah umrahkan kesemua anak-anak kami bersama pada tahun 1997.

Sekarang ini, segalanya tinggal kenangan bersama suami. Kami semua merinduinya...........beliau meninggalkan kami pada 12hb Ogos 2007. Menitis airmata saya semasa menaip coretan ini. Banyak teguran-tegurannya yang masih terdengar-dengar ditelinga. Ilmu agamanya yang masih tersusun (buku pelajaran agama dari arwah gurunya). Ada ringkasan-ringkasan catitan yang ditinggalkan untuk kami di komputer yang dirakamkan 3 bulan sebelum beliau meninggalkan kami semua. Kini tinggallah saya dengan anak-anak yang belum berumahtangga. Hari minggu anak-anak yang berdekatan datang berkunjung dengan cucu-cucu. Sekarang saya sudah ada 4 orang cucu. Seorang berada di Kuantan yang lainya berada di Johor Bahru.

Saya baru pulang dari mengerjakan Umrah pada 24.5.08. Alhamdulillah semoga Allah terima ibadah saya. Berkesempatan saya dapat mengerjakan Badal Umrah untuk arwah suami dan adik lelaki saya yang meninggal mengejut di Masjid Taman Kobena, Johor Bahru. Beliau ketika itu masih bujang dan baru lepas menamatkan pelajaran dari USM.

Saya akan ke Pulau Pinang menghadiri undangan perkahwinan anak saudara saya mulai 29.05.08. Pulang nanti singgah ke Kajang rumah adik kerana emak ada disana. Emak saya memang sudah uzur maklumlah usia sudah lanjut. Bersyukurlah saya masih ada seorang ibu.

Saya akan kembali berkongsi pengalaman saya setelah saya pulang dari Kajang. Sehingga itu, selamat bercuti...

Masakan Zaman Remaja dan Keluarga

Saya memang minat memasak dan menjamu orang serta sahabat makan. Khasnya keluarga yang agak besar bilanganya iaitu seramai 8 orang (anak 6 suami/isteri). Berikut ialah sebahagian daripada menu yang dihidangkan untuk keluarga.

1) Nasi Lemak (Biasa dan Berlauk)
2) Nasi Minyak
3) Nasi Jagung
4) Nasi Tomato
5) Nasi Beringin
6) Nasi Kuzi (Ayam dan Daging)
7) Nasi Kismis Kacang Dal
8) Nasi Beryani
9) Nasi Kerabu
10) Nasi Ambang
11) Lauk Beryani (Ayam dan Daging)
12) Lauk Beryani (Ikan /Udang/Kambing)
13) Acar Rampai
14) Acar Serani
15) Acar Buah (Jeruk)
16) Ikan (Sweet and Sour)
17) Nasi Ayam
18) Roti Jala
19) Roti Canai/Perata
20) Popia (Goreng/Basah)
21) Mee Rebus/Bandung/Kari Tulang/Hailam/Goreng /Soto
22) Mee Hoon Soto/Goreng/Hailam
23) Kueh Tiau Goreng/Hailam
24) Makaroni Bakar
25) Lempeng Kelapa/Kosong (Plain)
26) Sambal Tumis Ikan Bilis/Kerang/Ikan
27) Tahu Sumbat @ Sambal Kacang
28) Sayur Nangka dengan Perut Lembu Masak Lemak
29) Sup Kaki Lembu
30) Bubur Lambuk

Ade lagi masakan yang belum saya senaraikan. Cukup setakat ini dahulu...

Monday, May 26, 2008

Resepi Zaman Kanak-kanak

Serba sedikit mengenai diri saya. Saya gemar memasak dan antara resepi pada zaman kanak-kanak adalah seperti berikut:-

1) Umbut pisang nipah masak lemak
2) Pais ikan dengan daun Bebuas dan daun Kaduk
3) Telor goreng kelapa muda
4) Asam rebus ikan kering dengan keladi
5) Urap daun pegaga dengan daun cekur
6) Sambal jawa ikan bilis hitam (tamban)
7) Ikan pecal
8) Masak lemak cili padi jantung pisang
9) Masak lemak pedas telor masin
10) Masak lemak keladi dengan siput sedut
11) Pais hati ikan pari bersalut nasi (pedas & berempah)
12) Kerutup ikan terubok
13) Asam pedas ikan
14) Sayuran masak air (bening)
15) Sambal belacan (dicampur dengan pelam muda/cermai/belimbing buluh/tomato)
16) Ikan masak pindang (singgang)
17) Urap daun turi
18) Ikan bakar & air asam
19) Dalca sayuran
20) Kurma ayam/daging
21) Kari ayam/daging
22) Sambal tumis tempe
23) Ikan masak taucho

Seterusnya, masakan-masakan zaman remaja...